Cara – cara untuk memajukan sektor pertanian


Cara – cara untuk memajukan sektor pertanian

Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang penting di Malaysia. Ia mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia kerana sektor ini mampu memberi sumbangan kepada pendapatan negara, perolehan eksport dan mewujudkan peluang pekerjaan. Melalui sektor inilah, sumber makanan dan bahan mentah boleh terus dibekalkan kepada setiap rakyat. Di Malaysia, kepentingan sektor pertanian boleh dinilai dengan sumbangannya dalam pendapatan kasar negara sebanyak lima peratus. Hal ini secara tidak langsung membantu Malaysia dalam membangunkan ekonomi yang stabil di negara ini. Kerajaan juga telah melakukan inisiatif untuk terus melangkah ke hadapan dalam melaraskan daya saing sektor ini, antaranya adalah dengan mewujudkan Dasar Agromakanan Negara dan Dasar komoditi Negara. Namun hal yang demikian, tidak ramai lagi dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia yang peduli tentang sektor pertanian ini, malahan lebih suka mengimport tenaga asing untuk mengusahakan sektor tersebut, padahal sektor inilah yang mempunyai potensi besar untuk dimajukan.

Apabila dinilai persepsi dan kemahuan masyarakat di Malaysia, mereka mempunyai tanggapan yang negatif terhadap sektor pertanian. Bagi mereka, menceburi bidang pertanian dikira kelas bawahan dan segolongan mereka lebih cenderung untuk tidak bersusah payah dalam melakukan kerja – kerja di bawah panas terik. Malahan mereka memilih kerjaya yang memberi keselesaan pada diri mereka iaitu pekerjaan yang meletakkan mereka di bawah bumbung bangunan dan di dalam bilik yang berhawa dingin. Itulah masyarakat Malaysia terutama sekali golongan muda yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi. Oleh itu, persepsi ini perlulah diubah oleh ibu bapa sewaktu membesarkan anak – anak lagi supaya mereka lebih awal lagi meneroka bidang ini dan apa juga bidang lain yang berkaitan dengan sektor pertanian. Didikan awal bagaikan melentur buluh biarlah dari rebungnya dapat mendorong anak muda agar terus mengaplikasikan pembelajaran mereka ke arah sektor pertanian. Misalnya, pelajar yang mengambil jurusan sains boleh membantu dari segi pembangunan teknologi pertanian, begitu juga pelajar senibina dan rekabentuk di mana mereka boleh merancang pembangunan pertanian yang lestari di samping mewujudkan kesan estetik di kawasan terlibat. Pengaplikasian ini sangat efektif apabila setiap profesion membantu untuk memajukan sektor masing – masing dan pada masa yang sama boleh menambah peluang pekerjaan di negara ini.

Usaha lain yang dapat dilakukan untuk memajukan sektor pertanian ini adalah dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kementerian ini bertanggungjawab sepenuhnya ke atas aktiviti pertanian termasuk perikanan dan perternakan di negara kita. Selain itu, kementerian ini juga membantu sektor pertanian dalam memberi peruntukan yang besar untuk membuat penyelidikan dalam sektor – sektor tertentu. Contoh yang jelas adalah seperti tertubuhnya Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia yang lebih dikenalik sebagai MARDI. MARDI ditubuhkan dengan matlamat untuk memajukan dan menggiatkan teknologi baharu yang bersesuaian dalam memudahkan pembangunan industri pertanian di Malaysia. Teknologi yang direka bertujuan meningkatkan penghasilan dan keberkesanan serta memodenkan sektor pertanian. Ia pada masa yang sama membantu dalam peningkatan pulangan kepada petani – petani. Selain daripada MARDI, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga menubuhkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia ataupun MPOB yang berperanan untuk membantu dalam sektor industri kelapa sawit negara. MPOB bertanggungjawab untuk meneraju dan membangunkan industri ini sehinggakan kini, kelapa sawit menjadi bahan eksport utama di negara kita ke luar negara seperti Amerika Syarikat.

Mengikut arus kemodenan dan pembangunan institusi keilmuan yang semakin meluas di negara kita, teknologi moden diwujudkan untuk menggandakan hasil pengeluaran sesuatu produk. Dalam erti kata lain, kemajuan teknologi pertanian yang sedia ada boleh digabungkan bersama dengan teknologi sains untuk menghasilkan suatu kaedah teknologi yang baharu dinamakan sebagai bioteknologi. Bioteknologi ini dapat memberi manfaat yang ketara kepada pengguna tempatan seperti pengurangan kos pengeluaran, peningkatan hasil pertanian, pengurangan dalam penggunaan racun perosak dan racun herba. Pada masa yang sama teknologi sebegini mampu menjamin kesihatan penduduk di samping keselamatan alam sekitar. Melalui teknologi ini, pelbagai penyelidikan baharu digunakan bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran sumber makanan. Sebagai contoh, kaedah penyelidikan seperti pembiakbakaan yang sering digunakan dalam penghasilan kelapa sawit yang lebih bermutu dan berkualiti. Kelapa sawit spesies Tenera merupakan hasil pembiakbakaan dua spesies kepala sawit iaitu spesies dura dan pisifera. Ilmu biologi seperti kaedah mangsa – pemangsa juga selalu digunakan di kawasan ladang pertanian bagi mengawal haiwan perosak seperti tikus sebagai mangsa dengan melepaskan ular dan burung hantu sebagai pemangsa. Kaedah sebegini bukan sahaja jimat daripada kos penggunaannya malah mesra alam dan tidak memcemarkan alam sekitar.

Tuntasnya bak kata orang – orang tua, pabila genggam bara api biarlah sampai menjadi arang. Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlulah menggembleng tenaga untuk sama – sama memajukan sektor ini. Misalnya ibu bapa memainkan peranan dalam memberi pendedahan kepada anak – anak berkenaan bidan pertanian ini sejak awal lagi. Penyemaian sikap cinta akan pertanian dalam diri anak – anak boleh dibentuk dengan membawa mereka ke pameran pertanian seperti MAHA yang dijalankan setiap dua tahun untuk mendedahkan kepada mereka tentang keuntungan dunia pertanian. Kita juga haruslah mengubah persepsi masyarakat kita bahawa bidang ini bukanlah sewenang – wenang kepenatan tanpa keuntungan. Ini bertepatan dengan kata pujangga Aminuddin Baki, “ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan. Kiasan inilah yang memberikan tamparan pedas bahawa tidak kira apa jua bidang sekalipun, jika kita tidak berusaha dengan segala ikhtiar dan kebijaksanaan, maka hidup kita tidaklah berubah ke mana – mana.

TINGGALKAN KOMEN


KEMBALI KE ATAS