Langkah – langkah Mengatasi Kemerosotan Ekosistem Tasik


Langkah – langkah Mengatasi Kemerosotan Ekosistem Tasik

Kekayaan biodiversiti di Malaysia dari segi kepelbagaian jenis flora dan fauna menyebabkan negara kita sangat digemari oleh pelancong – pelancong dari dalam dan luar negara. Di sini, mereka dapat menikmati pemandangan indah dan pengalaman yang mengasyikkan bersama alam semulajadi di mana – mana sahaja. Malahan, tempat – tempat yang sering menjadi pusat pelancongan di Malaysia akan lebih tertumpu kepada keunikan alam seperti pantai, hutan simpan, pulau, tasik, sungai, taman – taman negara dan seumpamanya.

Walaubagaimanapun, keindahan alam di Malaysia tidak lari daripada isu – isu yang membabitkan alam sekitar. Dari masa ke semasa, kita dikhabarkan dengan pelbagai masalah alam sekitar samada daripada siaran televisyen seperti berita, mahupun disiar melalui surat khabar dan juga media sosial. Begitu banyak isu dan permasalahan yang merosakkan alam sekitar di negara kita seperti pencemaran alam sekitar, pengeboman ikan, pembalakan haram dan pembuangan sampah di merata – rata yang mana pada akhirnya menggugat kesihatan masyarakat.  Perbuatan yang bercanggah dengan hukum alam ini akan menyebabkan ekosistem merundum dan di sini saya akan khususkan kepada ekosistem tasik di Malaysia. Jadi persoalannya, apakah punca – punca disebalik kemerosotan ekosistem tasik di negara kita?

Apabila dirungkaikan satu persatu perbuatan yang menggugat ekosistem tasik di Malaysia, sudah tentu banyak sekali. Hal ini kerana tasik merupakan salah satu sumber air yang disalurkan untuk kegunaan penduduk sekitar sama seperti sungai dan laut. Tambahan pula, kebersihan tasik ini sangat berkait rapat dengan aktiviti seharian yang dilakukan oleh manusia seperti penggunaan racun serangga yang berlebihan menyebabkan bahan – bahan yang berunsurkan kimia mengalir masuk ke dalam tasik apabila hujan turun membasahi bumi Malaysia. Begitu juga dengan sikap yang tidak bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat yang menjadikan tasik sebagai tempat pengumpulan sampah buangan. Jadi, aktiviti – aktiviti seumpama inilah yang menjadikan air di dalam tasik bertukar kotor dan meracuni haiwan dan tumbuhan yang bergantung sepenuhnya dengan tasik tersebut demi kelangsungan hidup mereka. Hakikatnya, walau apa jua isu dan masalah yang mengancam ekosistem sesuatu tasik, langkah – langkah pemuliharaan dan pemeliharaan perlulah dititberatkan dengan segera.

Dalam hal ini, antara langkah – langkah yang boleh dilakukan bagi mengatasi kemerosotan ekosistem di kawasan tasik adalah dengan menguatkuasakan undang – undang. Pihak yang terlibat perlulah meningkatkan pengawasan dan pemantauan yang teliti bagi mengelakkan berlakunya aktiviti yang tidak sepatutnya daripada mana – mana pihak. Undang – undang juga boleh mewartakan tasik – tasik sebagai taman perlindungan yang mendapat penjagaan dan kawalan sepenuhnya daripada kerajaan. Oleh itu, tindakan tegas boleh dikenakan kepada individu atau pihak yang didapati bersalah dalam mencemarkan sumber air di tasik – tasik negara sama ada pengusaha kilang, petani, penternak, pemilik restoran, orang perseorangan dan seumpamanya. Hukuman yang perlu diberi mestilah setimpal dengan perbuatan mereka seperti mengenakan kompaun, menarik balik lessen operasi sesuatu peniagaan atau perusahaan dan juga memenjarakan pesalah. Hal ini yang demikian, hukuman yang setimpal boleh memberikan pengajaran kepada pelaku supaya tidak mengulangi perbuatan salah mereka dan pada masa yang sama mengajar masyarakat lain untuk sama – sama tidak mencemarkan alam sekitar dan sentiasa menjaga kebersihan tasik di negara kita.

Selain itu, pengurusan yang strategik boleh menjadi salah satu langkah bagi mengatasi kemerosotan ekosistem di tasik Malaysia. Pengurusan strategik yang dimaksudkan di sini adalah dengan merawat air tasik yang tercemar khususnya akibat pembuangan sisa kilang dan air kumbahan. Hal ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyakkan lagi loji rawatan air di sekitar kawasan tasik dan hanya membenarkan pengaliran semula air ke dalam tasik seusai sahaja air yang mengalir itu dirawat sepenuhnya. Tidak lupa juga, dengan menyediakan sistem perangkap sampah yang efisien boleh membantu dalam menguruskan air tasik dengan strategik. Sistem perangkap sampah ini diperlukan bagi membersihkan sungai dan seterusnya menyekat sampah daripada mengalir sama ke dalam tasik – tasik. Pengurusan strategik yang lain pula adalah dengan mempertingkatkan usaha Resource & Development (R&D) serta teknologi. Hal ini penting untuk dilaksanakan oleh semua pihak yang berlainan sektor bagi mewujudkan teknologi kitar semua air ataupun mereka suatu teknologi untuk kegunaan industry masing – masing tanpa mencemarkan air tasik. Kesannya, air tasik akan terlindung daripada bahan – bahan pencemaran lalu menjamin kebersihan air untuk generasi masa hadapan.

Langkah yang berikut merupakan salah satu langkah yang seringkali digunakan bagi mengatasi masalah ini, iaitu mempertingkatkan kesedaran masyarakat dengan mengadakan kempen – kempen kesedaran di setiap negeri serta didikan di sekolah dan universiti. Umumnya, masyarakat kita sudah lazim apabila mendengar kempen seperti “Hargailah Air”, “Sungai Hidupku”, “Cintai Alam Sekitar” dan “Sambutan Hari Air Sedunia”. Namun, kesedaran yang diwujudkan masih tidak lagi dilihat dengan ketara. Oleh itu, program – program seperti ini perlulah dilakukan secara berkala bagi mengingatkan kepada rakyat marhain bahawa pemeliharaan dan pemuliharaan tasik – tasik di negara kita amatlah penting bagi mengekalkan kelangsungan sumber air dan hidupan sekitarnya. Melalui langkah ini, sifat mencintai alam sekitar akan terus menerus terpahat dan sebati dengan sikap dan tingkah laku penduduk setempat. Begitu juga dengan pendidikan yang diberikan samada dalam bentuk formal mahupun tidak formal. Kepentingan menjaga alam sekitar boleh diterapkan dalam setiap subjek tidak kira berbentuk sains mahupun bahasa seperti Biologi, Geografi dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.

Kesimpulannya, tasik merupakan asset yang penting dalam menyediakan sumber air di negara kita. oleh itu, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita mestilah bekerjasama dalam memelihara dan memulihara alam sekitar di sekeliling kita. Sungguhpun kita tidak melihat kebaikannya dalam masa yang singkat tetapi ketahuilah bahawa kita dana lam sekitar adalah saling bergantungan bagaikan aur dengan tebing. Maka dengan itu, tiada ruginya jika kita berusaha menjaganya.

TINGGALKAN KOMEN


KEMBALI KE ATAS