Sebab Kenapa Pemilik Start Up Wajar Lindungi Perniagaan Dengan Insurans


Sebab Kenapa Pemilik Start Up Wajar Lindungi Perniagaan Dengan Insurans

Kebanyakan ahli bisnes pasti akan bersetuju dengan pendapat bahawa keputusan yang diambil oleh mereka sewaktu awal–awal dalam menceburi bidang bisnes dan pelaburan amatlah berisiko. Sekiranya keputusan yang diambil itu adalah betul, maka mudahah perniagaan mereka untuk melonjak ke tahap yang lebih baik. Namun, seandainya tidak, maka sebaliklah kesan daripada keputusannya itu.

Walaubagaimanapun, masih ada segelintir mereka yang memandang enteng terhadap risiko–risiko lain yang sewajarnya turut diambil peduli juga. Contohnya seperti bencana dan kemalangan yang boleh mengakibatkan perniagaan mereka kehilangan modal dan harta benda. Sudah maklum bahawa malang itu tidak berbau, maka perlulah berwaspada sebaik-baiknya. Hal Ini boleh terjadi mungkin kerana kurangnya kesedaran dan kefahaman dalam kalangan mereka terhadap pentingnya mendapatkan perlindungan insurans dalam perniagaan.

Oleh itu, pada kali ini kami akan berkongsi kepada anda tentang 5 asbab mengapa pemilik bisnes dan start up perlu melindungi perniagaan mereka melalui insurans:

 

  1. Perlindungan daripada Bencana Alam.

Masih segar kah ingatan anda berkenaan banjir kilat yang berlaku baru–baru ini di Kuala Lumpur? Atau banjir besar yang melanda Pantai Timur pada hujung tahun lepas? Jika anda menjalankan perniagaan di lokasi yang berisiko untuk dilanda banjir, bagaimanakah anda ingin bangkit semula dan memulakan kembali perniagaan anda seusai banjir surut?

Bagaimana pula perasaan anda setelah melihat ruang pejabat anda dipenuhi dengan selut dan lumpur? Tidak kira lagi dengan stok barang dagangan anda yang musnah akibat banjir di samping perabot–perabot yang digunakan di dalam pejabat, fail-fail urusniaga dan perakaunan yang telah musnah.

Maka, di sinilah pentingnya untuk anda memiliki perlindungan insurans bagi melindungi harta benda milik perniagaan anda. Tidak kisah lah untuk melindungi stok, bangunan ataupun perabot pejabat. Hal ini kerana dengan memiliki insurans, ia dapat membantu anda untuk bangkit dengan lebih cepat selepas menerima pampasan daripada polisi insurans yang telah diambil untuk perniagaan anda.

Oleh itu, bersegeralah mendapat perlindungan insurans kerana bencana alam di muka Bumi ini bukan takat banjir menenggelami bandar–bandar malah bencana seperti ribut taufan dan puting beliung, gempa bumi, tsunami, tanah runtuh, dan kemarau juga akan merisikokan perniagaan anda.

 

  1. Perlindungan daripada kebakaran dan kemalangan

Pernahkah anda terfikir bagaimana untuk bangkit semula sekiranya segala modal yang anda gunakan untuk membeli stok barang dagangan anda musnah sekelip mata kerana kebakaran?

Bencana kebakaran adalah sesuatu yang jarang berlaku tetapi jangan lupa–malang itu tidak berbau. Sekali terkena, hilang segalanya. Bak kata orang dulu, kecil api menjadi kawan, bila besar menjadi lawan.

Oleh itu, dengan mengambil perlindungan insurans (sebagai contoh insurans kebakaran dan pelindungan semua risiko – All Risks Insurance), ia dapat membantu perniagaan anda untuk kembali beroperasi dengan lebih cepat sebaik saja tuntutan pelindungan insurans anda diluluskan.

 

  1. Perlindungan daripada kecurian

Dengan keadaan ekonomi yang sedang gawat pada masa kini, pelbagai kejadian jenayah yang boleh berlaku akibat desakan hidup yang dilalui oleh sesetengah kelompok dalam masyarakat.

Pecah pejabat, kecurian harta benda terutama gajet dan wang tunai boleh meletakkan sesuatu premis perniagaan itu dalam risiko.

Namun, jika harta perniagaan anda telah dilindungi oleh polisi insurans, tuntutan boleh dibuat apabila kejadian seperti ini berlaku.

Pernahkah anda melihat komputer riba dicuri dalam sekelip mata walaupun pemiliknya berada betul–betul di samping beg yang dicurinya itu? Mungkin terlalu asyik menikmati sarapan ataupun berbual dengan rakannya yang menyebabkan kes sebegini sering sekali berlaku tanpa disedari. Malahan jika anda membuat carian di YouTube, sudah banyak video tersebar tentang bagaimana pencuri melakukan pelbagai tipu muslihat untuk melaksanakan niat mereka. Kejadian seperti ini juga boleh di insurans kan sebenarnya.

 

  1. Perlindungan daripada kemalangan dan kecacatan

Perlindungan ini sebenarnya adalah khas untuk pemilik dan kakitangan bisnes anda.

Bagaimanapun, jika ada di antara pekerja–pekerja anda yang mengalami kemalangan di tempat kerja? Atau mungkin juga jatuh sakit yang memerlukan rawatan perubatan yang tinggi? Maka dengan insurans perlindungan ini lah mampu menjadi faedah kepada kakitangan anda. Lagipun, majority syarikat perniagaan di Malaysia sudah pun maklum berkenaan dengan insurans perlindungan ini.

 

  1. Mewujudkan perasaan tenteram dalam diri pemilik start up dan bisnes

Dengan mengetahui perniagaan anda telah dilindungi dengan sewajarnya oleh pihak insurans, ini dapat membantu serba sedikit dalam mengurangkan kerisauan terhadap risiko yang bakal dihadapi dan mampu menumpukan lebih perhatian kepada perniagaan.

Perkara asas seperti yang ditawarkan oleh insurans adalah ‘peace of mind’ (ketenangan minda) kerana anda sedar syarikat anda telah dilindungi daripada kehilangan harta benda dan beberapa risiko yang boleh merencatkan perkembangan syarikat. Jadi, tiada apa lagi yang hendak dikhuatiri kan lagi. Dengan itu anda dapat menumpukan sepenuhnya perhatian kepada membangunkan perniagaan anda.

Tuntasnya, hal insurans perlindungan ini tidaklah terlalu sukar jika anda faham tentang risiko dan asas-asas perlindungan yang ditawarkan oleh setiap polisi. Malahan jika anda rasakan ia sesuatu yang sukar untuk anda fahami, anda boleh saja hubungi wakil daripada AXA Insurance untuk temujanji dan penerangan lanjut.

Yang penting adalah dapatkan perlindungan yang dapat mengurangkan risiko kerugian kepada perniagaan anda akibat daripada bencana yang tidak anda ingini seperti yang telah kami sebutkan di atas.

TINGGALKAN KOMEN


KEMBALI KE ATAS