Kepentingan Insurans Kenderaan dan Jenis – jenis Polisi Insurans Kenderaan


Kepentingan Insurans Kenderaan dan Jenis – jenis Polisi Insurans Kenderaan

Sebagai orang bijak pandai dalam menguruskan kewangan, anda sudah tentu mempunyai skim perlindungan samada takaful atau insurans. Insurans adalah perkara yang sangat penting, namun tahap kesedaran orang ramai terhadapnya masih lagi rendah termasuklah kepentingan dalam berinsurans kenderaan. Seringkali alasan yang diberikan adalah kerana tidak mampu memberi komitmen kewangan dan manfaatnya yang tidak jelas kelihatan.

Dalam konsep berinsurans, syarat utama untuk mendapatkan faedah skim perlindungan ialah seseorang itu mestilah dilindungi sebelum berlakunya kemalangan atau kematian. Oleh itu, ada tiga sebab utama mengapa anda perlu memiliki insurans iaitu:

 

  1. Menjaga Harta atau Aset

Apabila anda membeli kereta baharu ataupun memperbaharui cukai jalan, anda diwajibkan untuk mengambil insurans. Hal ini adalah kerana insurans akan melindungi harta anda (dalam konteks ini ialah kereta anda) apabila berlakunya musibah, kemalangan, kebakaran, kecurian dan seumpamanya.

Sekiranya berlaku sesuatu ke atas harta anda, maka insurans lah yang akan memberikan pampasan mengikut kadar yang sewajarnya. Jadi, perlindungan insurans adalah sangat penting untuk mengurangkan kerugian anda sewaktu kejadian tertentu berlaku.

 

  1. Melindungi Pelaburan

Selalunya duit simpanan lebih akan dijadikan sebagai pelaburan. Hal ini kerana pelaburan diyakini boleh memberikan pulangan di masa hadapan apabila ia dilabur secara konsisten.

Namun, malang tidak berbau. Andaikan anda menghadapi musibah misalnya kemalangan sewaktu anda memulakan pelaburan. Bukan setakat kos rawatan perubatan sahaja, malah anda juga perlu membayar kos baik pulih kenderaan yang sudah pastinya melambung tinggi harganya. Dengan ini, anda sudah pasti akan menggunakan wang pelaburan anda untuk menampung perbelanjaan setelah kemalangan tersebut berlaku.

Oleh itu, anda akan berdepan dengan risiko kerugian dan ini hanya boleh diatasi apabila anda mengambil insurans perlindungan sebagai langkah awal bagi menghadapi situasi sukar sebegini.

 

  1. Elak Wariskan Hutang

Pemergian anda sudah tentu membuatkan orang tersayang berasa sedih, jadi mahukah anda melihat dalam keadaan jatuh seperti itu, mereka perlu membebani setiap hutang – hutang anda? Bukankah lebih baik sekiranya pemergian anda itu meninggalkan legasi dan harta yang mampu menampung kehidupan seharian isteri dan anak – anak buat seketika waktu?

Dengan mempunyai skim insurans yang secukupnya, pampasan atas kematian anda boleh dibuat oleh waris dan ini boleh dimanfaatkan mereka untuk memulakan hidup baru selepas kesukaran menerima berita di atas pemergian anda.

 

Kepentingan Insurans Kenderaan

Insurans kenderaan semestinya dibuat sebelum dapat memperbaharui road tax atau cukai jalan. Ramai yang beranggapan bahawa insurans ini hanyalah membebankan pengguna kenderaan namun disebalik pembayaran tersebut, ia mampu mengurangkan beban pemilik kenderaan seandainya ada kerosakan dan kemalangan berlaku. Hal ini kerana, insurans tersebut menampung sebahagian pembayaran kos pembaikan kenderaan yang selalunya berjumlah besar kesan daripada rosak sewaktu kemalangan berlaku.

Jadi, insurans kenderaan dalam erti kata lain adalah merupakan satu bentuk perlindungan daripada pihak insurans kepada pemadu atau pemilik kenderaan. Insurans tersebut selalunya meliputi sebarang kerosakan atau kerugian akibat pemanduan kenderaan di atas jalan raya.

 

Mengapa Perlu Membuat Insurans Kenderaan

Berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap pemandu yang mempunyai kenderaan diwajibkan membuat insurans kenderaan sekurang-kurangnya Insurans Perlindungan Pihak Ketiga.

Kadar premium insurans kenderaan ditetapkan dan dikawal oleh pihak Bank Negara. Walaupun anda memilih syarikat berlainan, namun premiumnya adalah tetap sama untuk pakej perlindungan yang tertentu. Untuk sesetengah pakej didapati dengan pembayaran yang agak mahal, tetapi masih ada pilihan yang bergantung pada jenis perlindungan dan bajet yang anda mahukan.

 

Jenis – Jenis Polisi Insurans Kenderaan Bermotor di Malaysia

Insurans kenderaan bermotor ialah polisi insurans yang dapat melindungi kenderan bermotor termasuklah kereta, motosikal, lori dan bas daripada risiko kerosakan akibat daripada kemalangan atau kecurian. Secara umum, terdapat tiga jenis polisi insurans kenderaan di Malaysia. Perbezaan antara ketiga – tiga polisi ini adalah berdasarkan terma dan syarat mengikut syarikat insurans dan takaful masing – masing.

 

  1. Polisi PIhak Ketiga.

Polisi pihak ketiga merupakan polisi insurans kenderaan paling asas. Bayaran premium yang dikenakan untuk polisi ini adalah paling rendah berbanding polisi – polisi yang lain kerana perlindungan yang ditawarkannya kepada pemegang polisi adalah terhad.

Di Malaysia, sekurang – kurangnya pemandu atau pemilik kenderaan memiliki insurans ini. Malahan, setiap pembelian sebuah kenderaan yang baharu diwajibkan untuk membuat polisi ini, sekurang – kurangnya. Hal ini adalah disebabkan kegagalan dalam memiliki insurans kenderaan di negara ini merupakan salah satu kesalahan di sisi undang – undang.

Polisi insurans pihak ketiga ini atau lebih dikenali sebagai third party akan melindungi pemegang insurans daripada tuntutan pihak ketiga sekiranya berlaku kemalangan yang merugikan kenderaan mereka. Hal ini termasuklah tuntutan atas kecederaan atau kematian pihak ketiga sewaktu kemalangan yang berpunca daripada anda.

 

  1. Polisi Pihak Ketiga, Kebakaran dan Kecurian

Polisi ini boleh dikatakan hamper sama dengan polisi pihak ketiga. Namun terdapat perbezaannya, iaitu polisi ini merangkumi risiko dalam kes kebakaran dan kecurian samada dalam keadaan yang disengajakan ataupun yang tidak disengajakan.

Dengan memiliki polisi insurans ini, anda boleh membuat tuntutan apabila ada cubaan mencuri seperti pecah cermin, kopek pintu ataupun berlaku kebakarang pada kenderaan hak milik anda. Namun, polisi ini juga ada terhadnya di mana tuntutan terhadap kemalangan di atas jalan raya tidak boleh dibuat.

 

  1. Polisi Komprehensif

Apabila anda bercadang untuk memiliki perlindungan menyeluruh, polisi komprehensif merupakan pilihan yang tepat. Di Malaysia, polisi ini diwajibkan ke atas pembelian kenderaan baharu dengan menggunakan pinjaman bank. Selain daripada melindungi kenderaan terhadap risiko kemalangan, kecurian mahupun kebakaran, polisi insurans ini juga melindungi anda sekiranya mengalami kecederaan sewaktu kemalangan jalan raya.

Polisi ini sangat digalakkan kepada pengguna Malaysia, terutama buat pemandu kenderaan yang baharu dan mewah. Ini kerana kos untuk membaiki kenderaan mewah seandainya berlaku kemalangan adalah sangat tinggi. Sebaliknya, pengguna yang berkenderaan biasa, ia menjadi pilihan anda kerana kos baik pulih kenderaan anda mungkin masih lagi boleh dibiayai sendiri.

TINGGALKAN KOMEN


KEMBALI KE ATAS