Kepentingan Perancangan Kewangan
Ramai orang menganggap perancangan kewangan adalah sesuatu yang membebankan serta menghalang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang menyeronokkan. Bayangkan sahajalah jikalau hidup sentiasa mahu berjimat, sudah tentu banyak aktiviti menarik dan menyeronokkan perlu kita korbankan, bukankah begitu?
Namun, cuba anda fikirkan sejenak. Mungkin ada cara lain di mana anda berjimat, tapi pada masa yang sama anda masih boleh memperuntukkan wang yang secukupnya untuk keluar dengan rakan-rakan dan bersuka ria. Jika anda dapat mengawal perancangan kewangan anda dengan baik, maka tidak mustahillah untuk anda berseronok pada masa akan datang!
Dengan melakukan pengurusan kewangan, anda mampu untuk mengelakkan perbelanjaan yang berlebihan, hutang piutang yang tidak terurus jaminannya, kebankrapan ataupun kebergantungan kepada orang lain. Selain itu, anda juga dapat mengeratkan lagi hubungan peribadi dengan orang terdekat seperti keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja. Hal ini kerana anda berasa gembira dengan kecukupan kewangan anda untuk menjalani kehidupan anda dan tidak perlu pinjam-meminjam wang daripada orang lain.
Tambahan pula, anda tidak perlu bersusah payah untuk bimbang dengan kewangan anda kerana anda sudahpun merancang apa yang perlu diketepikan untuk masa hadapan. Tidak lupa juga anda mampu menjangka perbelanjaan dan mencapai matlamat peribadi hidup di samping menjadi lebih efektif dalam mendapatkan, menggunakan dan melindungi sumber kewangan anda sepanjang hayat. Ia bukan hanya bagi diri anda malah bagi mereka yang tersayang.
Dengan erti kata lain, apabila anda mempunyai pelan kewangan peribadi yang terurus, anda akan lebih berhati–hati berkenaan dengan perbelanjaan dan keperluan masa hadapan dengan menggunakan sumber yang sedia ada secara berhemah. Anda juga mendapat ketenangan kerana mampu mengawal segalanya. Hebat bukan?
Tapi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perancangan kewangan?
Mengikut definisi buku, perancangan kewangan merupakan satu proses di mana seseorang individu merancang masa hadapannya dalam memenuhi matlamat peribadi dan kewangan melalui pembangunan dan perlaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh.
Secara praktikal, perancangan kewangan adalah segala yang berkaitan dengan mengurus kedudukan ekonomi atau kewangan seseorang individu dengan mengambil kira perkara-perkara yang ingin dilakukan seperti berkahwin, membeli aset seperti kereta atau rumah, merancang untuk mendapatkan anak serta perancangan pendidikan untuk mereka. Melalui perancangan kewangan juga, kita dapat mengenal pasti cara-cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa yang tertentu. Selain itu juga, ia adalah panduan untuk membantu anda mencapai sesuatu matlamat pada masa akan datang.
Tapi lazimnya, rakyat Malaysia masih belum diberi pendedahan secukupnya mengenai perkara ini. Kita harus akui bahawa dalam pendidikan formal di Malaysia, walaupun ada diselitkan beberapa konteks mengenai subjek tentang kewangan peribadi tetapi masih belum dilaksanakan secara menyeluruh. Kesannya, masyarakat di negara ini akan ramai mengalami masalah kewangan walaupun telah bekerja lebih lama. Hal ini berkait rapat dengan pengurusan perbelanjaan mereka dan hutang yang dibuat sedangkan separuh daripada manusia terkaya di dunia adalah perancang kewangan. Maka, perlulah mereka mencontohi nama-nama seperti Warren Buffet (Pemilik AIG Group) dan keluarga Waltons yang masing–masing merupakan antara 10 orang terkaya di dunia. Pada amnya mereka merupakan perancang kewangan yang masyhur dan boleh dijadikan idola dalam merancang kewangan peribadi masing-masing.
Merancang kewangan merupakan satu proses dan strategi perancangan yang perlu dirangka dengan baik. Ia menggunakan sumber kewangan anda untuk mencapai matlamat jangka masa sederhana dan juga panjang. Menerusi perancangan kewangan inilah anda dapat melihat di manakah kedudukan kewangan anda pada masa kini dan menargetkan ke arah yang lebih baik pada masa hadapan, bagaimana untuk mencapainya dan bila sepatutnya bermula?
Amat penting bagi setiap daripada kita untuk membuat perancangan kewangan secepat yang mungkin terutama bagi mereka yang mula memasuki alam pekerjaan. Jika yang sudah lama bekerja, tetapi masih lagi belum membuat sebarang perancangan, masih lagi belum terlambat. Tidak kira di titik mana anda berada tetap tidak terlewat untuk membuat sebarang perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik. Merancang perbelanjaan dengan bijak dapat mengelakkan anda daripada mengalami krisis kewangan kerana tanpa perancangan yang rapi banyak perkara yang tidak dapat anda lakukan dengan baik.
Sebagai contoh, sekiranya anda ingin bersara awal dengan harga barang keperluan seharian semakin lama semakin meningkat. Jika anda tidak menyimpan duit mulai sekarang, maka di kemudian hari nanti bagaimanakah agaknya anda ingin mendapatkannya? Walhal ada yang beranggapan akan mati awal selepas bersara. Ingatlah, ajal dan maut itu di tangan Tuhan. Kita hanya boleh merancang tapi Tuhan sahajalah yang menentukannya. Oleh itu, jika masih tidak bersedia, cubalah fikir tentang ahli–ahli keluarga yang bakal meneruskan kehidupan mereka walaupun seusai kematian kita. Bagaimanakah persediaan mereka untuk masa- masa akan datang jika tidak ada apa–apa sumber simpanan? Bayangkan, jika anak-anak yang di tinggalkan masih kecil? Jika keadaan terdesak, adakah mereka akan membuat pinjaman daripada individu yang tak bertauliah? Selalunya kita beranggapan, bila hari itu tiba, pandai-pandai lah mereka teruskan kehidupan. Ini amatlah salah!
Tuntasnya, pelan kewangan yang kukuh sepatutnya bukan sekadar membeli satu pelan insurans atau unit amanah sahaja, tetapi perlu merangkumi keempat-empat kunci utama membina kekayaan iaitu, pengumpulan harta, pengurusan harta, perlindungan harta dan pengagihan harta.
Pengurusan kewangan anda ketika krisis kewangan
Sejarah ketamadunan manusia telah membuktikan banyak negara terutamanya negara-negara Islam telah gah membangun sebagai pusat ekonomi mahupun pendidikan suatu ketika dahulu. Marcapada ini kita pula dapat melihat banyak negara seantero dunia dispesifikasikan sebagai negara maju. Pembangunan yang pesat berlaku di serata dunia bukan hanya mencakupi satu bidang malah pelbagai bidang seperti perdagangan, pentadbiran awam dan pendidikan. Fenomena ini berlaku atas suatu istilah yang cukup sinonim dalam masyarakat kita iaitu globalisasi. Globalisasi merujuk kepada kesan ekonomi, budaya dan lain-lain yang kini mampu disebarkan ke seluruh dunia dengan begitu pantas bak ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Agen-agen globalisasi seperti organisasi antarabangsa, hiburan mahupun media massa meledakkan lagi fenomena ini khususnya dalam bidang ekonomi.
Namun bukan globalisasi yang ingin diperkatakan dalam hal ini tetapi mengenai elemen di dalamnya iaitu ekonomi dan lebih spesifik mengenai pengurusan kewangan. Umum mengetahui krisis kewangan ketika 1997/1998 yang merupakan titik sejarah hitam, bukan sahaja di negara kita malahan seluruh Asia. Semestinya kita tidak mahu sejarah hitam ini berulang kembali. Oleh yang sedemikian, kita perlu mempunyai inisiatif untuk menguruskan kewangan kita. Salah satu inisiatif yang perlu dipraktikkan adalah dengan merangka bajet seharian. Urusan keluar masuk kewangan kita perlulah diutamakan kerana kewangan merupakan salah satu nadi kehidupan kita. Penggunaan wang dalam setiap bulan perlu direkod untuk mengelakkan pembelian barang yang berlebihan. Jika kita mengurus wang berdasarkan bajet, kita boleh menyimpan serba sedikit untuk tujuan kecemasan dan ini perlu dilaksanakan sebelum berbelanja. Rumah terbakar dan kemalangan jalan raya merupakan antara kecemasan yang menuntut komitmen kewangan kita. Jadi perangkaan bajet memainkan peranan penting dalam hal ini. Tegasnya, merangka bajet kewangan kita memberi impak yang besar dan positif dalam hidup kita, justeru ia perlu dijadikan platform bagi pengurusan kewangan yang lebih efektif.
Sudah menjadi lumrah manusia menyukai sesuatu yang menarik, cantik, sedap mata memandang khususnya buat kaum wanita kerana manusia bukanlah ‘rekaan robotik’ yang tidak mempunyai jiwa dan perasaan. Oleh itu, kecenderungan untuk memiliki sesuatu yang sedemikian amat tinggi bagi setiap individu. Memiliki dalam konteks ini adalah merujuk kepada istilah ‘membeli’. Persoalannya, apakah medium yang digunakan oleh kita untuk membeli? Penggunaaan wang tunai dan juga penggunaan kad kredit merupakan antara medium yang dominan bagi urusan jual beli zaman muasir ini. Namun, penggunaan kad kredit ini telah disalah gunakan dalam masyarakat kita. Majoriti daripada kita menggunakan kad kredit untuk berbelanja barang keinginan bukan barang keperluan. Sedarkah anda bahawa penggunaan kad kredit menyebabkan kita tidak menghadkan tahap kita berbelanja. Hal ini kerana mentaliti kita ditanam dengan menganggap bahawa kad kredit mempunyai tahap maksima dan kita masih tidak lagi mencapai tahap tersebut? Justeru, kita perlu mengelakkan diri daripada menggunakan kad kredit semasa berbelanja. Sebagai contoh, satu situasi yang melibatkan dua orang pelajar. Rahim dan Johan berbelanja di sebuah pasaraya. Rahim menggunakan wang tunai untuk berbelanja manakala Johan menggunakan kad kredit. Hasilnya, Rahim menghabiskan RM200.00 manakala Johan jauh lebih tinggi jumlahnya. Hal ini kerana Johan banyak membeli barang keinginannya daripada barang keperluan tanpa sedar dan ini secara tidak langsung menyebabkan pembaziran. Tuntasnya, penggunaan kad kredit perlu dielakkan bagi mewujudkan kewangan yang stabil.
Selain itu, merekod perbelanjaan kita pula merupakan salah satu modus operandi yang terbaik bagi menguruskan kewangan kita ketika krisis kewangan berlaku. Masalah sukar menyimpan wang merupakan salah satu isu yang tidak asing lagi bagi kita khususnya dalam kalangan para pelajar mahupun pekerja milenium ini. Majoriti pelajar kini khususnya yang sedang melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi sering merungut kehabisan wang pinjaman pelajaran. Senario sama berlaku kepada majoriti pekerja yang kehabisan wang dalam masa yang singkat menyebabkan mereka mengikat perut walhal mereka tidak sedar ke mana wang mereka mengalir. Justeru, kita perlu mengambil langkah sederap bagi mengelakkan fenomena ini berterusan dengan merekod perbelanjaan kita. Hal ini penting bagi mengelakkan seseorang individu itu mengalami masalah kewangan pada masa akan datang. Merekod perbelanjaan bukan bermakna kita perlu merekod setiap satu barang yang telah dibeli namun cukup hanya dengan sekadar mengenal pasti ke mana arah mengalirnya wang yang telah dibelanjakan itu dengan menyemak baki yang tinggal. Sebagai contoh, kita mempunyai RM50.00 dan membeli makanan berat yang berharga RM6.50 serta aiskrim yang berharga RM1.20. Setelah membayar, kita boleh menyemak baki yang tinggal sekaligus mengenal pasti jumlah wang yang telah dibelanjakan. Konklusinya, merekod perbelanjaan perlu menjadi amalan seharian kita demi mencapai kewangan yang stabil pada masa akan datang.
Zaman serba canggih yang kaya dengan hasil penemuan teknologi ini, semua aktiviti boleh dilakukan di hujung jari. Masyarakat kini khususnya generasi Y cenderung untuk berkongsi aktiviti sesama mereka dengan memuat naik di laman social. Maka tidak hairanlah fenomena ini menjadi trend bagi setiap generasi kini. Memuat naik status sudah menjadi salah satu perkara wajib dilakukan bagi setiap individu, dalam erti kata lain menjadi nadi kehidupan ataupun sikap dalam kalangan kita. Jadi, apa salahnya kita jadikan sikap ini sebagai salah satu medium bagi pengurusan wang yang efektif? Dan bagaimanakah caranya? Dengan membuka laman web sendiri, kita boleh berkongsi kebolehan, pengetahuan dan pengalaman yang ada pada diri kita untuk dijadikan pedoman orang lain. Misalnya, individu yang berbakat dalam menjahit baju, dia bolehlah membuka laman web sebagai langkah mempromosikan kelebihan yang sedia ada. Pembukaan laman web ini boleh dimulakan dengan membeli domain dan hosting, kemudian membuat e - book secara atas sesawang. Melalui alternative ini, pelanggan boleh dicari secara mudanya dengan memuat naik baju – baju yang telah dijahit ke laman sosial. Hal ini secara tidak langsung menjana pendapatan kita di samping melakukan perkara yang kita minati. Kajian membuktikan bahawa kita akan beroleh hasil yang lebih baik jika melakukan perkara yang kita minati berbanding perkara yang kita kurang digemari. Tegasnya, menjadikan hobi untuk menjana pendapatan perlu dijadikan budaya hidup kita.
Intihanya, kita perlu bijak menguruskan kewangan kita kerana milineum baru ini pasti sarat dengan muatan cabaran reformasi. Segalanya bergantung kepada diri kita sendiri untuk mengorak sederap langkah ataupun sebaliknya, yang pasti apa yang kita lakukan sekarang bukan sahaja meninggalkan impak kepada kita malah terhadap negara kita juga. Hakikatnya pengurusan kewangan adalah salah satu elemen yang serius yang menuntut komitmen semua pihak berdasarkan apa yang telah diperkatakan oleh Dr. Nadzim Johar, jumlah pemuda yang berusia 34 tahun ke bawah di Malaysia diisytiharkan muflis meningkat setiap hari. Sesungguhnya, ‘yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang.’
← 7 Punca Rumah Kurang Laku dan Cara Mengatasinya
Blog
Buka Blog Kewangan
Artikel Selepas
Sebab–Sebab Anak Muda Harus Memiliki Rumah →
Tekan untuk hantar cadangan ubah artikel.