7 Punca Rumah Kurang Laku dan Cara Mengatasinya


7 Punca Rumah Kurang Laku dan Cara Mengatasinya

1) Tiada siapa beli kalau rumah dijual melebihi harga pasaran

Secara logiknya, tiada sesiapapun yang membeli rumah tanpa melihat terlebih dahulu harga pasarannya? Sekalipun mereka mampu, untung rugi masih menjadi titik pertimbangan. Daripada membeli rumah A yang dijual pada harga yang tinggi, lebih baik membeli rumah B yang sama jenis tetapi harganya lebih berpatutan! Bukankah begitu? Bayangkan, seandainya kita ingin membeli suatu barang, mestilah perkara yang utama yang dinilai pada barang itu adalah harganya. Perbuatan ini bukannya disebabkan terlalu memilih tetapi ingin menilai kesepadanan harga dengan barang tersebut.

Selain itu, rumah yang dijual mengikut harga pasaran ini juga akan membantu pembeli untuk mendapatkan pinjaman yang secukupnya. Katakanlah, harga pasaran sebuah rumah yang ingin dibeli ialah RM100,000, maka bank akan hanya meluluskan pinjaman sehingga RM90,000 untuk pakej biasa. RM10,000 lagi pembeli rumah hendaklah membayarnya secara deposit. Namun, seandainya anda menjual rumah pada harga RM120,000 misalnya, tidakkah ia membebankan si pembeli? Sudahlah bayaran deposit rumah perlu ditanggungnya dahulu, tidak cukup itu si pembeli juga terpaksa mengeluarkan duit tambahan untuk menampung jumlah pinjaman yang diterima. Padahal, bayaran ini belum lagi dicampurnya dengan kos-kos lain seperti kos guaman. Sebab itulah anda dimestikan menyemak harga pasaran rumah terlebih dahulu sebelum menjual supaya dapat menetapkan harga rumah yang berpatutan. Ini merupakan kunci utama untuk memastikan rumah anda boleh terjual.

2) Persaingan adalah punca utama rumah tidak dapat dijual

Apabila anda ingin menjual sebuah rumah, pelbagai cara sudah anda usahakan untuk memastikan rumah tersebut terjual. Anda telah menyemak harga pasaran lalu meletakkan harga yang berpatutan dengan rumah tersebut. Iklan pun sudah anda buat, namun tetap tiada respons dan tanpa ada pembeli yang berminat yang menghubungi. Jadi apakah puncanya?

Salah satu puncanya adalah berkemungkinan disebabkan oleh jiran–jiran terdekat anda sedang menjual rumah yang mana harga dan ciri–ciri lebih kurang sama dengan rumah yang anda jual. Oleh itu, jika anda sudah berbuat pelbagai cara bagi melariskan rumah anda dengan iklan dan seumpamanya tetapi tiada pembeli yang berminat, maka sudah masanya untuk anda menyelidik siapakah pesaing anda. 

Melalui penyelidikan ini, anda boleh melihat perbezaan dan untung rugi antara rumah yang anda jual dan rumah yang dijual mereka. Mungkin terdapat banyak persamaan tetapi mesti ada lebihnya pada mereka dan kurangnya pada anda tidak kiralah pada harga, kualiti dan sebagainya. Perbandingan ini boleh dilihat apabila anda membuka portal iklan seperti Mudah.my dan Propertyguru. Dengan ini, ia membantu anda untuk menambahbaik strategi dan kelemahan yang ada pada rumah yang anda jual.

3) Gambar yang diiklankan tidak menarik perhatian pembeli

Perkara ini sangat perlu diutamakan dan penjual perlulah mengelakkan gambar yang bercirikan seperti:

  • Rumah yang tidak dijaga kebersihan dan keselamatannya
  • Rumah yang seakan – akan nampak gelap dan kusam
  • Atau rumah yang tidak menunjukkan keadaan sebenar rumah

Tujuan pengiklanan rumah ini penting kerana untuk meyakinkan kepada para pembeli bahawa rumah yang ingin dibelinya adalah sebuah rumah yang boleh menjamin kualiti hidupnya sepanjang berada di rumah tersebut. Oleh itu, setiap penjual yang ingin mengiklankan rumah, mereka perlulah memastikan kebersihan, keselamatan, penjagaan rumah dan kesediaan rumah tersebut dipaparkan dengan rapi.

4) Penampilan rumah membawa pandangan yang buruk

Keadaan rumah mestilah dalam keadaan yang baik, cantik dan terjaga apabila anda ingin menjual rumah supaya ia dapat memberi pandangan yang baik kepada pembeli. Tiada sesiapapun yang mahukan rumah yang serba-serbi dalam keadaan yang teruk dan tidak lengkap malah banyak benda yang perlu dibaiki. Si pemilik digalakkan untuk membaiki kelengkapan rumah dengan seeloknya seperti menukar pintu yang sudah kopak, mengecat semula dinding yang kusam dan pudar warnanya, membaiki paip yang bocor dan seumpamanya. Perkara–perkara beginilah yang dipandang oleh pelanggan untuk tertarik dalam pembelian rumah tersebut dan hasilnya rumah anda akan terjual dengan lebih cepat kerana ia kelihatan baik, elok dan baharu.

5) Tidak memahami keperluan pembeli

Satu lagi punca yang sering mengakibatkan sesebuah rumah tidak dapat dijual, iaitu keperluan pembeli yang tidak diambil peduli oleh pemilik rumah. Setiap pembeli tidak sama kehendaknya. Lain pembeli, lain karenahnya terhadap apa yang mereka mahukan. Oleh itu, si penjual rumah perlulah menitikberatkan latar belakang setiap pembeli. Ada dalam kalangan mereka yang layak mendapat pinjaman, ada yang tidak. Ada juga yang mampu membayar deposit dengan secukupnya, tetapi ada juga yang tidak. Jadi, titik tolaknya bermula daripada anda sendiri sebagai pemilik rumah untuk memastikan kedudukan rumah anda dalam keadaan yang membanggakan dan memuaskan keinginan pembeli tanpa ada dua tiga persoalan yang boleh meragukan minat mereka untuk membeli.

6) Konsistensi dalam memberi komitmen

Dalam konteks menjual rumah, setiap pemilik seharusnya mempunyai sifat yang komited terhadap apa yang dilakukannya. Sikap bersungguh–sungguh perlulah ditanam dalam diri supaya iklan yang dibuat sering berada dalam pemantauan dan panggilan daripada pembeli sering dijawab pantas dan diberi layanan yang baik. Sikap daripada seorang penjual dipandang juga oleh si pembeli kerana sudah menjadi lumrah manusia bahawa kita lebih menggemari untuk membuat urusan dengan orang yang lebih mesra dan bertanggungjawab. Selain itu, penjual rumah boleh juga sentiasa mengemas kini maklumat kepada pelanggan dari masa ke semasa. Hal ini penting bagi menunjukkan kesungguhan kita kepada pembeli terhadap rumah yang dijual belinya.

7) Tidak membuat persediaan yang rapi

Ramai segolongan penjual rumah yang ingin menjual rumah tetapi melaksanakan dalam keadaan sambil lewa ataupun sekerat jalan sahaja. Hal ini kerana mereka tidak menyangka bahawa kos untuk menjual rumah boleh mencecah kepada nilai yang tinggi. Malah apabila mereka sedar, lambat laun penjual tersebut akan membatalkan sendiri rumah jualannya itu.

Sebab apa?

Sebab kebanyakan daripada kalangan kita ingin menjual rumah kerana mempunyai hajat tertentu. Misalnya seperti ingin membeli rumah baru ataupun ingin membayar perbelanjaan pengajian anak–anak dan seumpamanya. Jadi apabila dilihat sekilas pandang, hajat–hajat seperti ini mempunyai tempoh yang tersendiri dan apabila terlepas daripada masalah yang dihadapi, maka boleh menjadi keraguan untuk menjual rumah. Oleh itu, dinasihatkan kepada sesiapa yang ingin menjual rumah untuk berfikir sejenak sebab-sebab anda untuk menjualnya selain daripada mengira untung rugi apabila menjual rumah. Hal ini kerana, untuk menjual rumah, banyak faktor yang perlu diambil kira.

Jadi sekian sahaja artikel ini. Saya berharap semoga anda yang membaca akan mendapat serba sedikit idea tentang punca kenapa sesebuah rumah itu sukar dijual. Tambahan, saya juga mendoakan bagi sesiapa yang merancang untuk menjual rumah agar setiap urusan mereka dipermudahkan sehingga rumah tersebut berjaya dijual. Selamat berjaya dan terima kasih!

TINGGALKAN KOMEN


KEMBALI KE ATAS