8 Sebab Anda Perlukan Insurans Hayat


8 Sebab Anda Perlukan Insurans Hayat

Dunia ini tidak boleh diramal. Kematian kita mahupun pemergian insan tersayang bukan sesuatu yang dapat kita ketahui jitu akan waktunya. Jadi, tidak peliklah seandainya kita mendengar bualan orang tentang kisah si isteri ditinggalkan suami kerana kemalangan ataupun penyakit, hidup bersama anak – anak sebatang kara. Tiada persediaan yang sempat dilakukan untuk meneruskan langkah hidup yang baru.

                Oleh itu, keperluan seseorang untuk mendapatkan perlindungan insurans sebenarnya penting sebagai persediaan awal untuk menghadapi malang yang tidak berbau. Dengan memiliki insurans, ia mampu menjamin perlindungan untuk diri sendiri dan juga keluarga jika ada kejadian yang tidak diingini berlaku pada masa akan datang.

                Walaupun kesedaran dalam hidup berinsurans sudah pun meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia, namun masih ramai rakyat yang masih tidak mempedulikan kepentingannya tidak kisahlah daripada golongan muda mahupun tua. Jadi, di sini saya sertakan asbab keperluan kita untuk mendapatkan insurans hayat sebagai persediaan untuk kelangsungan hidup.

Ini Adalah 8 Sebab Mengapa Anda Perlukan Insurans Hayat:

  1. Untuk menyara. keluarga.

Seandainya anda merupakan seorang ketua keluarga, permergian anda akibat kemalangan mahupun penyakit kronik adalah satu punca yang tragis dan sukar untuk dilalui oleh keluarga anda. Hal ini adalah kerana, sudah menjadi tanggungjawab anda mencari rezeki buat mereka malah kebajikan setiap ahli keluarga terletak di bahu anda.

                Dengan memiliki perlindungan insurans hayat, beban yang ditanggung oleh ahli keluarga dapat dikurangkan dengan sejumlah wang yang dipersetujui akan diberikan kepada mereka. Oleh itu, setelah kematian anda, kebajikan mereka masih lagi terjaga sehinggalah mereka mampu mencari sendiri sumber pendapatan yang baru untuk kelangsungan hidup seterusnya.

  1. Untuk menanggung kos pengebumian.

Proses pengebumian seseorang boleh mengambil dalam jumlah kos yang tinggi. Namun, sekiranya anda mempunyai perlindungan insurans hayat, ahli keluarga boleh menggunakan wang insurans tersebut untuk menanggung kos pengebumian tanpa harus meminjam ataupun mengeluarkan wang simpanan mereka.

  1. Untuk membayar hutang.

Jika anda mempunyai tanggungan hutang sewaktu masih hidup, maka kematian anda menyebabkan ahli keluarga anda akan memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap tanggungan hutang tersebut. Contoh tanggungan hutang seringkali dipindahmilik seusai kematian seseorang adalah seperti pinjaman perumahan, perniagaan dan pinjamin pribadi (yang dijamin). Oleh itu, insurans hayat boleh digunakan sebagai inisiatif untuk melangsaikan hutang tersebut sejurus mengelakkan ahli keluarga anda daripada bebanan hutang.

  1. Untuk digunakan sebagai pelan simpanan

Terdapat banyak pelan insurans di pasaran yang turut menawarkan ciri simpanan kepada anda. Ciri ini membolehkan anda untuk menuntut simpanan sebaik sahaja polisi anda matang seperti yang ditetapkan. Kebiasaannya, jumlah simpanan tersebut akan lebih tinggi berbanding dengan premium yang telah anda bayar. Pelan insurans sebegini menarik kerana ia menawarkan perlindungan dan juga simpanan pada masa yang sama.

                Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai ciri simpanan tersebut dari syarikat – syarikat insurans. Namun, anda perlulah mendapatkan penerangan tentang pulangan simpanan tersebut samada pulangan itu dijamin ataupun tidak. Dengan ini, ia dapat membantu anda memilih insurans yang sesuai dengan kehendak dan keperluan anda.

  1. Untuk mengurangkan kadar cukai.

Jika anda telah mula menfailkan cukai pendapatan, anda patut tahu insurans yang anda beli melayakkan anda untuk mendapat pengurangan cukai sehingga RM6,000 setiap tahun. Ditambah dengan insentif pengurangan cukai yang lain, anda boleh jimat hampir ribuan ringgit pada masa akan datang.

  1. Untuk ketenangan fikiran.

Dengan mempunyai perlindungan insurans hayat bermakna anda bertanggungjawab ke atas ahli keluarga di bawah jagaan anda. Dalam jangkauan masa hadapan, terdapat perkara yang tidak boleh disangkal dek akal tetapi dengan perlindungan insurans hayat, ia mampu membolehkan anda dan keluarga untuk sentiasa bersedia untuk menghadapi detik sukar kelak.

  1. Untuk dijadikan tabung pendidikan anak – anak.

Setiap insan yang bergelar bapa sentiasa mencari jalan untuk membantu dalam perjalanan anak sehingga kejayaan mereka dikecapi. Oleh itu, anda boleh menjadikan insurans ini sebagai langkah alternatif kepada tabung pendidikan anak – anak anda. Hal ini sangatlah perlu dititiberatkan kerana kos pengajian anak – anak sekarang adalah lebih tinggi berbanding dahulu terutama yang berkehendak menyambung pelajarannya ke menara gading.

                Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, sesetangah pelan insurans ada menawarkan ciri simpanan. Jadi, pelan insurans ini dapat membantu dari segi simpanan anak – anak sebaik sahaja mereka meningkat dewasa kerana duit yang dilaburkan dalam skim insurans ini akan bertambah dari masa ke semasa mengikut peredaran waktu dan usia si pengguna.

                Namun, ada perlu lah ingat untuk menunggu sehingga pulangan tersebut melebihi premium yang perlu anda bayar (biasanya mengambil lebih kurang 30 tahun). Jika pengeluaran wang tersebut dilakukan sebelum masa yang dipersetujui, anda bakal menganggung kerugian untuk simpanan tersebut. Ini bergantung dengan produk insurans masing – masing kerana setiap produk insurans adalah berbeza daripada segi syarat dan terma serta tempoh.

                Oleh itu, anda dinasihatkan agar mendapatkan khidmat konsultan insurans dalam penjelasan yang lebih terperinci.

  1. Untuk melindungi asset dan simpanan.

Dengan memiliki insurans hayat, keluarga anda tidak perlulah menggadaikan asset dan simpanan mereka seperti kereta, tanah, barang kemas dan seumpamanya semata – mata untuk membayar hutang atau kos lain kesar daripada pemergian anda. Malahan, mereka akan memperolehi dana tambahan selepas membayar kos tersebut dengan tuntutan insurans.

                Kesimpulannya di sini, amatlah penting untuk seseorang itu mengambil insurans hayat sebagai langkah persediaan jangka panjang dengan memastikan pelan yang diambil adalah betul dan tepat dengan perancangan yang teliti. Hal ini bukan sahaja memberikan keuntungan dan manfaat kepada hanya diri anda sendiri namun begitu juga kepada orang – orang yang tersayang.

TINGGALKAN KOMEN


KEMBALI KE ATAS