Bijak Berbelanja Pengguna Bestari


Bijak Berbelanja Pengguna Bestari

Aktiviti membeli-belah sememangnya menyeronokkan. Apatah lagi apabila kita mempunyai sejumlah wang yang banyak. Dengan ini, kita lebih mudah terpengaruh untuk membeli apa-apa sahaja barangan dan mendapatkan perkhidmatan yang disukai. Malah ada sesetengah daripada masyarakat kita yang menjadikan aktiviti membeli-belah ini sebagai aktiviti wajib yang mesti dilakukan sebaik sahaja mereka memperoleh gaji bulanan.

Pengeluar barangan dan perkhidmatan sentiasa berlumba-lumba menghasilkan pelbagai produk dan barangan dengan tawaran yang cukup mengasyikkan para pengguna. Tambahan pula dengan iklan–iklan promosi yang menawarkan barangan lumayan dan berjenama, siapa sahaja yang tidak tergoda? Lebih–lebih lagi, apabila melihat tawaran harga barangan berjenama yang menjunam sehingga 70 ke 90 peratus? Syarikat kewangan pula menawarkan pelbagai bentuk perkhidmatan kad kredit untuk memudahkan pengguna berbelanja. Namun yang membimbangkan, apabila keseronokan membeli-belah menyebabkan pengguna akhirnya tidak dapat mengawal perbelanjaan bulanan, yang kemudiannya terjerumus ke dalam beban hutang yang tidak disangka-sangka.

Walaupun aspek ekonomi merupakan komponen penting dalam kehidupan yang memberi peluang kepada setiap individu meningkatkan kualiti hidup masing-masing supaya lebih selesa dan berasa senang, tetapi pengguna perlulah mengawal diri ketika berbelanja. Pengguna perlu bijak dalam mengawal kewangan masing–masing supaya tidak terperangkap dalam beban hutang yang disebabkan hasil perlakuan sendiri dengan cara mendisiplinkan diri ketika berbelanja. Hal ini penting supaya pengguna dapat menjalani kehidupan yang benar-benar berkualiti. Pengguna yang terjerat dengan masalah hutang sehingga jatuh bankrap atau muflis sebenarnya dikatakan telah menjejaskan kualiti kehidupan mereka sendiri.

Sementara itu, Indeks Kualiti Kehidupan mencatatkan Malaysia di tangga ke–36 dalam kalangan 111 negara di dunia. Indeks ini mengambil kira kesihatan, kehidupan keluarga, kehidupan masyarakat, kestabilan politik, pendapatan per kapita dan kuasa beli, kebebasan politik, iklim, keselamatan pekerjaan, dan layanan yang sama bagi lelaki dan wanita. Selain itu, menurut Unit Perancang Ekonomi pula, pendapatan membolehkan individu menampung perbelanjaan bagi diri serta keluarga mereka manakala agihan pendapatan pula menggambarkan kesaksamaan dan pengagihan sumber ekonomi. Komponen pekerjaan atau status ini memberi ganjaran kepada individu melalui pemilikan tempat kediaman, kenderaan, pakaian atau makanan.

Kenaikan harga barang keperluan, seperti gula, beras, minyak masak dan tepung serta harga gas dan petroleum menyebabkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengguna semakin meningkat. Hal ini menyebabkan nilai ringgit yang diterima daripada pendapatan bulanan semakin mengecil sedangkan kos yang terpaksa ditanggung semakin banyak dan terus meningkat.

Bagi mengatasi masalah ini di samping mengurangkan beban yang harus ditanggung, pengguna perlu menjadi pengguna yang bijak dalam mengurus kewangan. Pengguna yang bijak ialah pengguna yang tahu menguruskan kewangan masing-masing dengan berkesan dan seterusnya tahu mengawal perbelanjaan mereka. Dengan itu, pengguna perlu melengkapkan diri dengan ilmu kewangan yang dapat membantu pengguna menguruskan kewangan peribadi mereka dengan baik dan berkesan.

Antara yang perlu dilakukan termasuklah mengubah corak perbelanjaan harian pengguna dan merancang perbelanjaan demi masa depan yang baik. Perancangan kewangan yang baik dan pengurusan kewangan yang sistematik akan membantu pengguna berbelanja mengikut keperluan dan tidak membebankan. Sehubungan dengan itu, pengguna perlu menetapkan sasaran dalam menentukan belanjawan bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak diperlukan. Pengguna perlu sentiasa menyediakan senarai barangan keperluan sebelum keluar ketika berbelanja bagi memastikan bahawa duit yang dilabur hanya untuk barang keperluan dan bukan kehendak. Bagi memastikan kejayaan dalam tindakan ini, pengguna perlu mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang telah ditetapkan.

Seterusnya, pengguna juga boleh merangka sistem pendapatan dengan mencampurkan pendapatan suami dan isteri, serta pendapatan lain yang diterima dan kemudiannya memasukkan pendapatan tersebut dalam satu akaun khas setelah ditolak perbelanjaan lain yang perlu diselesaikan. Misalnya bayaran untuk pinjaman rumah, kereta, bil air dan elektrik, yuran persekolahan anak, perbelanjaan keperluan rumah atau minyak kenderaan supaya dapat mengawal perbelanjaan. Kemudian catatkanlah jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan supaya pengguna dapat mengetahui ke manakah wang tersebut telah dibelanjakan.

Selain itu, pengguna mestilah menetapkan sasaran kewangan, seperti penetapan sasaran jangka pendek dan sasaran jangka panjang. Penetapan sasaran kewangan ini penting kerana dapat membantu pengguna menentukan belanjawan diri atau keluarga dengan lebih baik dan berkesan. Sebagai contoh, mengurangkan perbelanjaan menonton wayang dengan menonton cakera video digital (DVD) di rumah sebagai sasaran jangka pendek. Menetapkan sasaran jangka panjang pula bermakna sebagai contoh, melangsaikan hutang yang sedia ada terlebih dahulu atau menyimpan wang secara bulanan untuk membeli barangan yang diinginkan secara tunai dan bukan secara hutang.

Tuntasnya, terdapat banyak langkah–langkah yang perlu dilaksanakan oleh seseorang untuk menjadi pengguna yang bijak dalam berbelanja. Pemantauan, perancangan dan seumpamanya perlulah dititikberatkan oleh setiap pengguna agar perbelanjaan yang dilakukan adalah mengikut keperluan semata – mata. Oleh itu, dengan menjadi pengguna yang bijak, pengurusan kewangan yang baik dan berkesan dapat dicapai.

TINGGALKAN KOMEN


KEMBALI KE ATAS