Faktor-Faktor Pemilihan Kerjaya Bagi Remaja


Faktor-Faktor Pemilihan Kerjaya Bagi Remaja

Melalui alam persekolahan, kita sebagai rakyat Malaysia masing – masing berpengalaman dalam menjadi pelajar sekolah rendah daripada Tahun Satu sehinggalah Tahun Enam. Sewaktu ini, kita saban kali mendengar pertanyaan yang sering ditujukan oleh guru – guru di sekolah mengenai cita – cita dan impian kita apabila sudah meningkat dewasa kelak. Barangkali jawapan yang sering diberi, “Saya mahu jadi doktor!”, “Saya pula mahu jadi polis!” dan pekerjaan – pekerjaan lain seperti askar, guru, juruterbang, profesor dan seumpamanya. Namun di kemudian hari, kita melangkah ke peringkat sekolah menengah. Di sinilah kita sebagai pelajar diberi pilihan untuk menyambung pelajaran dalam bidang yang kita lebih minat samada ke arah bidang sains ataupun sastera. Di sini jua lah dikatakan langkah permulaan kita menuju perjalanan untuk berkerjaya.

 

Maksud Kerjaya

Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan kerjaya? Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara untuk mencari nafkah hidup. Matlamat untuk berkerjaya ini sangatlah penting untuk dijadikan sebagai panduan dalam hala tuju kehidupan kita sebagai seorang rakyat supaya kelak di masa hadapan tidaklah kita seperti layang – layang yang terputus tali lalu menyesal dengan keputusan yang diambil sewaktu itu. Oleh itu, setiap daripada kita terutama yang bergelar sebagai seorang pelajar perlulah menanam cita – cita dan harapan untuk berkerjaya dengan lebih awal lagi. Hal ini bertujuan untuk kita bersedia tentang apa jua yang perlu diharungi dan lebih meyakini terhadap kerjaya yang dipilih pada masa akan datang. Namun, mempunyai umur dan pengalaman yang cetek menghadkan kita untuk mengetahui apakah kerjaya yang sesuai dan tepat untuk diri kita. Jadi, timbul persoalan di sini iaitu apakah faktor – faktor yang boleh mempengaruhi kita dalam memilih sesuatu bidang kerjaya.

 

Faktor-Faktor Pemilihan Kerjaya

Faktor pertama yang boleh dikaitkan adalah berdasarkan minat dan cita – cita seorang pelajar di bangku sekolah lagi. Kedua – dua minat dan cita – cita ini merupakan perkara yang saling berkait dan menjadi faktor dominan dalam mempengaruhi seseorang pelajar itu untuk memilih bidang kerjayanya terutama sekali dalam kalangan pelajar – pelajar yang bakal menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh sebab itu, setiap pelajar dinasihatkan agar sentiasa cakna terhadap kemahuan dan minat mereka sebelum melangkah ke peringkat menengah atas, iaitu di Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima. Sewaktu ini, pelajar seharusnya sudah menentukan arah bidang mana yang disukainya samada pada aliran sains mahupun sastera. Dengan ini, perjalanan untuk berkerjaya akan menjadi lebih mudah untuk peringkat di menara gading. Hal ini kerana kecemerlangan mereka membolehkan mereka untuk menimba ilmu dengan lebih mendalam pada peringkat tinggi ini untuk betul – betul ke arah kerjaya yang diimpikan samada dalam bidang professional seperti doktor, jurutera, arkitek, peguam dan sebagainya. Perkara ini hanyalah boleh digapai apabila para pelajar menampilkan sifat suka berusafa untuk merealisasikan impian mereka kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Selain itu, pemilihan mata pelajaran yang tepat dan berkaitan juga merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi pemilihan bidang kerjaya. Umumnya, setiap pelajar digalakkan untuk memilih subjek pembelajaran berdasarkan bidang yang ingin diceburi sewaktu alam pekerjaan nanti. Hal ini kerana pemilihan subjek yang tepat dan bersesuaian adalah satu langkah ke hadapan untuk menjadi lebih mahir dalam sesuatu bidang tersebut. Dalam erti kata lain, sewaktu melangkah ke peringkat menengah ataslah, pelajar perlu mengambil kira subjek – subjek yang ingin dipelajari dan diuji sewaktu menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Sebagai contoh, seandainya cita – cita seorang pelajar itu untuk menjadi seorang arkitek dalam kerjayanya kelak, maka dengan ini, pelajar tersebut digalakkan memilih subjek Lukisan Kejuruteraan. Pilihan yang tepat sebeginilah yang mendorong mereka untuk lebih mudah memahami dalam bidang kerjaya yang bakal diceburinya kelak. Tambahan pula, pada zaman yang serba canggih ini, seorang majikan melihat seorang graduan bukan sahaja pada kemahirannya tetapi pemahamannya yang lebih mendalam dalam sesuatu bidang berkaitan. Dengan ini, majikan tersebut akan lebih meyakini untuk memilih graduan ini untuk bekerja dengannya.

Tidak lupa juga, apabila seseorang ingin menceburi dalam sesuatu bidang kerjaya, menjadikan seseorang sebagai tokoh dan idola juga amatlah penting. Kebiasaannya, idola yang dipilih merupakan dalam kalangan seorang yang unik, tabah, bersemangat dan berjaya dalam bidang kerjayanya. Hal ini adalah kerana idola mereka akan menjadi punca wujudnya semangat dan motivasi seseorang itu untuk terus berjaya dalam bidang yang diambil. Tidak kira lah berapa kali seorang pelajar itu gagal dalam peperiksaannya, namun tokoh dan idola ini yang dijadikannya sebagai teladan agar tidak mudah berputus asa dalam mengharungi cabaran dan rintangan yang ada sewaktu alam pembelajaran. Misalnya, apabila seorang pelajar itu ingin bekerjaya sebagai seorang arkitek, dia boleh memilih Zaha Hadid sebagai idolanya kerana beliau merupakan arkitek yang terkenal dengan seni rekabentuk bangunannya yang unik dan dibina di serata dunia. Oleh itu, keunikan dan kekreatifan malah kegigihannya idola mereka inilah yang memotivasikan mereka untuk terus melangkah ke arah kejayaan bukan sahaja di dalam Malaysia, bahkan masyhur di mata dunia.

Faktor seterusnya yang boleh diketengahkan adalah sokongan dan doa daripada ibu bapa untuk seseorang itu meneruskan apa jua bidang yang dipilih. Ironinya, jika minat seseorang itu mendapat sokongan daripada kedua – dua orang tuanya, sudah tentulah setiap langkah mereka menuju impian mereka akan diberkati Tuhan malah dipermudahkan lagi. Hal ini kerana, ibu bapa merupakan penjaga kita yang padanya umumnya, mereka lebih mengetahui apa yang buruk dan apa yang baik dan ini tidak boleh dinafikan disebabkan mereka lebih dahulu makan garam daripada kita yang terkemudian. Oleh hal yang demikian, ibu bapa juga perlulah sewajarnya menyokong minat anak – anak mereka walaupun kadang – kadang ia bercanggah dengan kehendak mereka. Untuk melihat kejayaan anak – anak dalam kerjayanya, minat itu penting diutamakan agar mereka lebih gembira menjalankan setiap tugas yang diberikan dan kemudian menghasilkan impak dan situasi yang positif dalam kehidupan anak – anak. Maka dengan itu, tiada salahnya untuk ibu bapa terus menerus mendorong anak – anak ke arah yang bidang yang diingini dengan memberi semangat dan motivasi kepada mereka samada dalam bentuk material mahupun spiritual.

Dalam konteks ini, langkah waspada dalam pemilihan bidang kerjaya perlulah dititikberatkan supaya setiap pelajar mampu merealisasikan apa jua impian dan cita – cita mereka apabila sudah melangkah dalam alam pekerjaan kelak tidak kiralah sesukar mana pun perjalanan tersebut, diharapkan pelajar – pelajar tidak mudah berputus asa dan sering beringat – ingatan antara sesama sendiri bahawa tiada apa yang mudah digapai di dunia ini. Setiap hasil bermula dengan usaha dan tanpa usaha, maka sia sia lah hidup kita di dunia ini.

TINGGALKAN KOMEN


KEMBALI KE ATAS