Langkah Menjaga Nama Baik Ibu Bapa
Tidak ada ibu bapa di dunia ini yang tidak sayang akan anaknya. Mereka sanggup berkorban apa-apa sahaja untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat dan sihat. Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan mereka dan membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripada kita. Sebagai seorang anak, haruslah bertanggungjawab menggembirakan ibu bapa dan menjaga nama baik mereka kerana perlu sedar bahawa tiada ibu bapa, tiadalah kita. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus kita lakukan untuk menjaga nama baik mereka?
Langkah utama yang boleh dilakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa kita adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan yang cemerlang. Mereka pasti akan gembira apabila kita mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dalaman sekolah atau peperiksaan awam. Untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan, wajib menumpukan sepenuh perhatian semasa guru sedang mengajar. Sekiranya tidak memahami sesuatu tajuk dalam pelajaran tertentu, kita tidak boleh malu bertanya kepada guru kerana pepatah menyatakan bahawa malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Kejayaan yang akan kita peroleh hasil usaha kita yang bersungguh-sungguh ini tentulah akan menaikkan nama baik ibu bapa kita.
Selain itu, untuk menjaga nama baik ibu bapa, kita perlu bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang baik dan dapat membimbing kita menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, kita akan memastikan diri kita tidak terlibat dengan rakan-rakan yang bermasalah yang boleh mempengaruhi kita terjebak dalam kancah gejala sosial seperti merempit, melepak dan ponteng sekolah. Kita akan berkawan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pelajaran agar kita dapat bertukar-tukar pandangan dan ilmu dengan mereka. Hal ini penting bagi menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri kita, agar mempunyai semangat dan motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh.
Tambahan lagi, kita boleh menjaga nama baik ibu bapa dengan menjalinkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat setempat. Sebagai seorang anak yang baik, kita sentiasa menjalinkan hubungan dengan ahli keluarga dan saudara mara yang jauh dan dekat sama ada di sebelah ibu mahupun di sebelah bapa walaupun mereka telah meninggal dunia. Sebagai contoh, kita akan membawa ibu bapa kita menziarahi sanak saudara dan kaum kerabat kita pada musim perayaan atau majlis kenduri-kendara. Kita yakin hubungan kita ini dapat menjaga nama baik ibu bapa kita kerana menjalinkan hubungan baik dalam kalangan keluarga. Sebagai seorang anggota masyarakat, kita akan menyertai setiap program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh masyarakat di kawasan tempat tinggal kita.
Akhir sekali, kita akan sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama demi menjaga nama baik ibu bapa kita. Sebagai anak yang baik, kita akan sentiasa mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan kita agar kita mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh serta dapat mengelakkan diri daripada terjebak dan terpengaruh oleh perkara-perkara yang tidak baik. Sekiranya kita berpegang teguh pada ajaran agama, kita dapat membezakan perkara yang salah dan benar. Hal ini amat penting untuk menentukan kejayaan kita pada masa hadapan.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menjaga nama baik ibu bapa atau menggembirakan mereka menjadi satu tanggungjawab anak-anak yang hidup di dunia. Oleh itu, kita ingin menyeru agar semua remaja dan anak-anak sentiasa menjaga nama baik masing-masing dan jangan sesekali melukakan perasaan ibu bapa mereka atau melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan imej mereka. Kita perlu ingat bahawa harta benda boleh dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya.
Buka Blog Keluarga
Artikel Selepas
Ucapan Hari Lahir Untuk Semua →
Tekan untuk hantar cadangan ubah artikel.