Cara Menjaga Persahabatan


Cara Menjaga Persahabatan

Selain keluarga, rakan merupakan orang yang dapat memberikan sokongan moral dan kasih sayang kepada kita. Malahan, bagi sesetengah individu, rakanlah orang yang paling penting dalam hidup mereka kerana mereka menghabiskan lebih banyak masa bersama. Rakan-rakanlah tempat mereka mengadu dan berkongsi masalah memandangkan ibu bapa sibuk bekerja. Rakan-rakan sememangnya penting untuk kita semua. Namun begitu mengekalkan hubungan yang baik dengan mereka bukanlah suatu perkara yang mudah. Banyak yang boleh kita lakukan untuk memastikan hubungan kita dengan mereka kekal baik. Kita harus menjaga hubungan yang baik itu pada setiap masa, bukannya pada saat kita memerlukan bantuan, barulah kita mula mencari mereka. Persoalannya, apakah langkah yang boleh diambil untuk mengekalkan hubungan baik dengan mereka?

Yang pertama sekali, komunikasi haruslah dititikberatkan. Komunikasi amat penting kerana dapat mengeratkan hubungan persahabatan. Perkara yang sering dipandang enteng seperti bertanya khabar sebenarnya dapat membantu mengeratkan dan mengekalkan hubungan yang baik dengan mereka. Dengan bertanya khabar dan bertukar-tukar cerita dengan mereka, kita akan memberi mesej kepada mereka bahawa kita selalu mengingati mereka. Kecanggihan teknologi komunikasi masa kini telah membuka jalan bagi kita untuk sering berhubung. Kita boleh menelefon, mengirim pesanan ringkas dan juga menghubungi mereka melalui rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter. Sememangnya, apabila sering berinteraksi, kita akan dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan mereka.

Selain itu, kita juga harus menjaga nama baik mereka demi mengekalkan hubungan. Tidak kira sesiapapun, mempertahankan maruah dan nama baik merupakan sesuatu yang amat penting. Kita harus menyimpan rahsia yang telah dikongsi bersama kita. Ini akan membuat mereka lebih mempercayai diri kita. Selain itu, kita tidak sepatutnya bergosip mengenai rakan-rakan atau memfitnah mereka. Bak kata pepatah, kerana pulut, santan binasa, kerana mulut badan binasa. Oleh sebab menfitnah atau bergosip mengenai mereka, kita boleh hilang kepercayaan mereka dan ini juga boleh mengeruhkan persahabatan kita.

Yang terakhir, sikap prihatin akan kebajikan rakan-rakan juga akan dapat membantu kita mengekalkan hubungan baik. Apabila kita menunjukkan keprihatinan kita akan kebajikan mereka, mereka akan dapat merasakan betapa pentingnya diri mereka bagi diri kita. Kita juga perlu lebih peka terhadap perasan mereka yang sedang bermasalah. Dengan selalu prihatin akan kebajikan rakan-rakan, sudah pasti kita akan dapat mengekalkan persahabatan kita.

Mengekalkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan sememangnya tidak mudah. Proses mengekalkan hubungan yang baik dengan rakan kita memerlukan usaha yang berterusan. Justeru kita harus mempunyai inisiatif untuk memberikan dan mewujudkan apa yang diperlukan oleh rakan-rakan kita agar hubungan kita kekal baik.

TINGGALKAN KOMEN


KEMBALI KE ATAS