Masalah Rompakan


Masalah Rompakan

Keamanan sesebuah negara boleh dikaitkan dengan kebebasan sesebuah negara itu daripada ancaman bahaya dan rintangan tidak kiralah daripada luar mahupun dalam. Kini, keamanan tersebut dikira melalui Indeks Keamanan Global atau lebih dikenali sebagai Global Peace Index (GPI) dan pada tahun 2019, Malaysia dinobatkan sebagai negara yang ke-16 paling aman di dunia.

Namun hal yang demikian, tidak boleh dinafikan bahawa Malaysia masih menghadapi gangguan keamanan yang mewujudkan rasa bimbang dan gusar buat penduduk tempatan. Hal ini kerana, tahap jenayah dalam masyarakat masih lagi tinggi misalnya seperti rompakan, pecah rumah, rasuah, kes buli dan seumpamanya. Malahan, perbuatan jenayah khususnya rompakan sering berlaku pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali di mana, waktu beginilah masyarakat Malaysia menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan taulan untuk bergembira. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, adakah kita berasa aman untuk menikmati suasana perayaan walhal perbuatan jenayah di luar sana masih lagi berleluasa? Apakah punca – punca yang menyebabkan berlakunya kes jenayah rompakan di negara ini?

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan jenayah rompakan ini meningkat dari masa ke semasa. Salah satu daripadanya adalah berpunca daripada kemelesatan ekonomi dalam sesebuah negara. Apabila sesebuah negara menghadapi kemunduran dalam pembangunan ekonominya, pelabur asing akan cenderung untuk menarik diri dan syarikat – syarikat pula terpaksa membuang pekerja – pekerja mereka bagi mengurangkan kos pengeluaran syarikat dalam memastikan kelangsungan syarikat untuk terus beroperasi. Jadi, pelucutan jawatan dan pemecatan pekerja – pekerja ini akan membawa kepada masalah pengangguran dalam masyarakat. Tambahan pula, ramai buruh kerja akan kehilangan sumber kewangan akibat tiada pekerjaan buat mereka yang mampu menampung kehidupan seharian seperti makanan, pakaian dan perbelanjaan persekolahan buat anak – anak mereka. Tidak lupa juga, hal – hal lain yang memerlukan komitmen pembayaran seperti bil api dan bil air. Oleh itu, masyarakat yang tidak bernasib baik seperti ini terpaksa memilih antara dua jalan iaitu jalan sukar ataupun jalan mudah. Mereka yang memilih jalan sukar akan terus berusaha mencari inisiatif untuk mendapatkan pendapatan seperti mula berniaga dan mencari pekerjaan yang lain. Sebaliknya pula, mereka yang terdesak lebih suka memilih jalan mudah seperti merompak.

Selain itu, kes rompakan ini juga sering melibatkan golongan remaja. Golongan ini selalu dikhabarkan dengan mudahnya mereka dipengaruhi dan dihasut oleh rakan sebaya. Hal ini berlaku adalah disebabkan kurangnya pemantauan daripada pihak ibu dan bapa. Ibu bapa yang sibuk bekerja dan terus menerus memfokuskan diri mereka dalam pekerjaan sama sekali tidak menyedari bahawa mereka mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak – anak. Belaian dan kasih sayang mahupun perhatian amatlah penting buat kebajikan anak – anak. Tanpa semua itu, anak – anak akan lebih mudah untuk terdedah dengan rakan – rakan yang tidak mempunyai latarbelakang yang baik. Bagi mereka, rakan – rakan seperti inilah yang mampu memberikan sepenuh perhatian kepada mereka, mendengar masalah mereka dan lebih bercenderung untuk mempercayai apa jua tindakan dan percakapan rakan – rakan tersebut. Akibatnya, anak – anak mula memberanikan diri mereka untuk terjebak dalam kes – kes jenayah seperti mencuri dan merompak demi mendapatkan kepuasan dan dikira sebagai refleksi kepada perasaan yang dipendam berkaitan kurangnya penglibatan ibu bapa dalam kehidupan seharian mereka.

Melalui perbuatan jenayah rompakan ini, ia mampu memberikan impak yang jelas kelihatan. Antara kesan utama hasil daripada aktiviti yang tidak bertauliah ini adalah dengan menjejaskan keamanan masyarakat di Malaysia. Aspek keselamatan untuk setiap penduduk tergugat apabila mereka menyedari bahawa setiap harta dan nyawa perlu dititikberatkan semaksimumnya sedangkan terdapat banyak lagi hal yang perlu diambil kira. Tidak lupa juga apabila masalah ini berlarutan, persefahaman dan jalinan dalam masyarakat akan sukar dibentuk akibat daripada merosotnya keyakinan dan kepercayaan antara satu sama lain. Hal ini menjurus kepada kesukaran untuk memupuk perpaduan dalam kalangan penduduk sesuatu kawasan. Amalan jiran tetangga akan bekurangan kerana lebih mengutamakan langkah berwaspada berbanding bergaul mesra dan menjalinkan hubungan persaudaraan sesama mereka. Pada akhirnya, masyarakat tidak dapat bersatu padu dengan mudahnya lalu memberi imej yang buruk kepada negara di peringkat globalisasi. Pada masa yang sama, ia akan mempengaruhi perkembangan negara terutama dalam bidang ekonomi kerana pelabur asing juga akan hilang keyakinan untuk terus melabur dalam negara yang mana keamanannya terjejas.

Oleh hal yang demikian, institusi kecil sebagai titik permulaan seperti keluarga terutama sekali dalam kalangan ibubapa perlulah memainkan peranan mereka untuk mengatasi masalah jenayah rompakan ini. Keprihatian mereka terhadap perilaku dan perbuatan anak – anak perlulah dititikberatkan. Malahan, masa yang diluangkan oleh ibu bapa untuk mencari sumber rezeki dan juga tanggungjawab sebagai penjaga kepada anak – anak tersebut perlulah seimbang supaya kasih sayang dan perhatian dapat disalurkan secukupnya kepada anak – anak. Dengan pertimbangan ini, anak – anak dapat dielakkan daripada memilih rakan yang salah dan pada masa yang sama dapat menjauhkan diri mereka daripada melakukan aktiviti – aktiviti yang tidak sihat dan bercanggah di sisi undang – undang. Selain itu, pihak sekolah juga mampu menjadi penggerak kepada langkah mengatasi masalah jenayah ini dalam kalangan para pelajar. Pelbagai inisiatif boleh diadakan seperti kempen – kempen, ceramah motivasi dan juga pertandingan – pertandingan yang menarik. Dengan ini, pihak sekolah mampu mengalih perhatian mereka daripada perbuatan yang tidak bermoral dan memenuhi masa lapang mereka dengan aktiviti yang bermanfaat serta memberi kesedaran terhadap keburukan jenayah rompakan.

Selain keluarga dan pihak sekolah, badan kerajaan juga penting untuk bertindak seoptimumnya bagi mengawal kes rompakan daripada berleluasa dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Antara tindakan efisien yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan adalah dengan menguatkuasakan undang – undang negara dalam aspek jenayah rompakan. Hukuman yang diberikan terhadap pelaku perlulah setimpal dengan perbuatan mereka supaya mampu mewujudkan rasa kesal dan memberi pengajaran bukan kepada si pelaku sahaja malah kepada rakyat yang lain. Pada peringkat yang lain, pihak polis dan organisasi kawasan perlulah juga bekerjasama dalam menjaga keamanan sejagat. Hal ini boleh dilakukan dengan membuat rondaan malam dan siang di kawasan kediaman masing – masing terutama sekali tempat yang sering menjadi target oleh perompak – perompak di luar sana. Kerjasama daripada penduduk tempatan ini bertujuan untuk memastikan kes – kes rompakan tidak berlaku di kawasan mereka demi menjaga hak keselamatan penduduk bersama. Tambahan pula, harta dan nyawa yang dimilki oleh residen sesuatu kawasan dapat dijamin daripada diragut oleh pelaku yang tidak bertanggungjawab.

Kesimpulannya, rompakan merupakan suatu jenayah yang melanggar undang – undang dan telah memberi kesan yang buruk kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, setiap pihak perlulah memainkan peranan masing – masing bagi mengatasi masalah jenayah rompakan ini bersama demi mempertahankan dan memperjuangkan keamanan negara.

TINGGALKAN KOMEN


KEMBALI KE ATAS