Peranan Takaful dalam Mengurangkan Kos Rawatan
Kesedaran terhadap penyakit tidak berjangkit atau lebih dikenali sebagai non-communicable disease (NCD) di kalangan rakyat Malaysia hari ini berada pada tahap yang membimbangkan. Hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), dianggarkan 73 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia adalah disebabkan oleh NCD dan peratusan ini terus meningkat setiap tahun dan ia merupakan perkara yang harus dipandang serius oleh masyarakat.
NCD yang paling kerap dihadapi oleh rakyat Malaysia adalah masalah berkaitan kardiovaskular dan kanser. Begitu juga NCD yang lain seperti kencing manis, strok, osteoporosis, penyakit buah pinggang yang kronik dan seumpamanya. Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan satu inisiatif Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 atau disebut sebagai PeKa B40, yang bertujuan menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap NCD.
Selain PeKa B40, terdapat beberapa lagi inisiatif yang telah diperkenalkan oleh kerajaan dalam mengurangkan beban rakyat bagi menghadapi kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat. Namun, tuah dan musibah boleh menimpa sesiapa sahaja, yang berkemampuan atau tidak, yang tua atau muda, tidak kira waktu dan tempat kerana malang tidak berbau. Malahan kita tidak boleh bergantung harap sepenuhnya kepada kerajaan untuk menampung perbelanjaan rawatan kita seandainya kita ditimpa penyakit NCD ini. Oleh itu, dengan memiliki insurans dan takaful, kita sudah pun mencari salah satu jalan alternatif yang boleh membantu kita dalam menangani kos rawatan tersebut.
Apakah insurans dan takaful? Apakah pula perbezaan antara kedua–duanya?
Insurans adalah pemindahan risiko daripada seorang individu atau sebuah organisasi kepada syarikat insurans. Individu atau organisasi tersebut akan menjadi pemegang polisi. Syarikat insurans akan menerima bayaran daripada pemegang polisi dalam bentuk premium (selalunya pembayaran dibuat pada setiap bulan) dan sekiranya pemegang polisi mengalami sebarang kerugian atau kerosakan, syarikat insurans akan membayar pampasan kepada pemegang polisi tersebut.
Takaful pula mempunyai prinsip asas yang sama, namun ianya ditambah baik daripada insurans bagi memenuhi keperluan produk mengikut peraturan yang digariskan oleh Syariah. Dan ini bertepatan dengan kemahuan daripada kebanyakan masyarakat yang beragama Islam.
Setiap orang pastinya mengharapkan yang baik–baik sahaja malah berdoa agar dapat mengelak daripada menghadapi sebarang penyakit, kemalangan, kesusahan dan musibah yang lainnya. Bagaimanapun, perkara ini tidak boleh dirancang. Jadi sekiranya seseorang ditimpa musibah sedemikian, ia pasti akan menjadi beban yang berat kepadanya jika memiliki status kewangan yang tidak kukuh.
Insurans dan takaful dilihat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan kos rawatan kesihatan pada masa kini. Ia memberi sokongan kewangan yang amat diperlukan ketika waktu kecemasan. Namun, apabila membahaskan mengenai insurans, seringkali kedengaran responden mengatakan seperti “Saya tawakal dengan ketentuan Tuhan”, “Belum mampu lagi”, “Kita rugi, ejen yang untung”. Ada juga yang dalam dilema mengenai usia yang sesuai untuk membeli polisi insurans dan takaful ini dan hanya bergantung harap terhadap pelan yang disediakan oleh majikan. Sungguh, ini merupakan pemikiran yang cetek dan masyarakat Malaysia perlulah membuka minda yang lebih luas lagi malah menumpukan pemikirannya untuk masamasa yang akan datang.
Perancangan kewangan jangka masa panjang.
Perlindungan kewangan merupakan salah satu instrumen yang penting dalam merancang kewangan jangka masa panjang. Perlindungan kewangan melindungi diri daripada musibah yang tidak dijangka seperti mengidap penyakit, kemalangan dan seumpamanya.
Berbeza dengan simpanan kewangan, perlindungan kewangan bertujuan mengurangkan kos perbelanjaan rawatan kesihatan. Oleh sebab harga premium insurans dan takaful ini meningkat seiring dengan tahap usia dan kesihatan seseorang, maka akan lebih banyak hasil perlindungan kewangannya sejurus dengan peningkatan usianya.
Selalunya, premium untuk pelan kesihatan dipengaruhi oleh faktor umur, sejarah perubatan, bandar kediaman dan lain-lain daripada yang diinsuranskan. Jadi, jika premium ini dibeli pada usia yang muda, maka amaun yang dibayar akan menjadi lebih murah. Malahan, selain daripada mendapatkan perlindungan, terdapat juga pelan insurans dan takaful yang menggabungkan perlindungan dengan pelaburan. Hal ini dimana premium yang dibayar bukan sahaja menyediakan insurans semata-mata tetapi sebahagian daripadanya akan dilaburkan ke dalam dana pelaburan. Maka, pemegang polisi akan menikmati hasil pelaburan seiring dengan perlindungan insurans dan ini mestilah bergantung dengan keperluan dan kemampuan kewangan seseorang itu. Senang kata, jika mampu, dapatkan yang lebih, maka hasil pun lebih.
Ingatlah orang yang tersayang
Mendapat berita mengenai sahabat yang ditimpa penyakit atau kemalangan adalah amat mendukacitakan. Manakan tidak, kedua-dua musibah itu boleh mengakibatkan seseorang individu menjadi orang kurang upaya ataupun menyebabkan dia hilang punca pendapatan.
Malah, ini juga akan menimbulkan kos perbelanjaan yang lain seperti kos ubat, kos rundingan doktor, peralatan perubatan, kos perjalanan ulang-alik ke hospital serta kos–kos lain. Sudah pasti kehidupan dan kedudukan kewangannya akan terjejas, sehingga akhirnya turut memberi kesan kepada ahli keluarga. Dalam sekelip mata sahaja, segalanya yang penting dalam hidup seseorang boleh ditarik Tuhan, lebih-lebih lagi jika musibah tersebut melibatkan pencari nafkah itu sendiri.
Atas sebab itu, masyarakat haruslah lebih peka terhadap kepentingan dan peranan insurans dan takaful ini dalam memberi sokongan kewangan yang lebih terjamin pada masa akan datang. Pada masa yang sama dapat membiayai kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat pada hari ini.
Tiada jumlah wang yang boleh mengantikan nyawa seseorang. Namun, polisi insurans dan takaful boleh memberi perlindungan untuk berdepan dengan ketidaktentuan hidup dalam mana kita sendiri tidak dapat tentukan samada kita memerlukannya ataupun tidak. Oleh itu, lebih baik lah untuk kita merancang dan menyediakan apa yang patut untuk kesenangan masa hadapan.
← Harga Rumah Turun
Blog
Buka Blog Kewangan
Artikel Selepas
Penjana Meringankan Beban Pembeli Rumah →
Tekan untuk hantar cadangan ubah artikel.