Kesan – kesan merokok dalam kalangan masyarakat.


Kesan – kesan merokok dalam kalangan masyarakat.

Sememangnya gaya hidup merokok sudah lazim dalam masyarakat di seluruh dunia khususnya di negara kita, Malaysia. Gaya hidup yang tidak sihat ini sudah pun mejadi tabiat dalam semua lapisan masyarakat terutama sekali golongan remaja. Ia amat sukar dibendung walaupun telah banyak inisiatif yang dilakukan oleh pelbagai pihak bagi mencegah dan membendung tabiat ini daripada terus melebarkan sayapnya. Sebagai contoh, pihak kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM 17 juta untuk menjayakan Kempen Tak Nak yang merujuk kepada amalan mencegah daripada merokok. Namun, masih ramai lagi yang tiada rasa segan pilu terus menerus menjadi perokok tegar di negara kita. Jadi wujudlah satu persoalan, seandainya seseorang itu tidak dibendung daripada terus melakukan tabiat rokok ini, apakah kesan yang boleh diterimanya?

Sebagaimana yang kita sudah maklum bahawa amalan merokok merupakan tabiat yang tidak sihat, maka mengamalkan gaya hidup sebegini sudah pastinya membawa kemudaratan kepada si perokok. Mengikut kajian saintifik, terdapat banyak penyakit kronik yang dikaitkan dengan kesan apabila seseorang itu tegar merokok dalam kehidupan sehariannya. Penyakit-penyakit kronik itu adalah seperti kanser paru-paru, kanser hidung, penyakit jantung, barah pundi kencing, masalah pernafasan dan banyak lagi. Hal ini kerana, rokok mengandungi unsur dan bahan-bahan yang tidak sepatutnya dibekalkan kepada badan manusia seperti tar, karsinogen dan nikotin. Tambahan pula, nikotin lah penyebab utama kepada ketagihan seseorang itu untuk terus merokok dan sukar meninggalkannya. Maka, apabila seseorang itu merokok walaupun pada asalnya hanya ingin mencuba-cuba, berkemungkinan akan mempunyai keinginan untuk mencuba sekali lagi.

Selain itu, amalan merokok juga boleh menjadi punca kepada kurangnya bekalan kewangan sesebuah keluarga. Hal ini kerana harga sekotak rokok yang dijual boleh dimisalkan dengan pembelian makanan di gerai sebanyak empat kali. Bayangkan sahajalah sekiranya perokok menghabiskan sehari sebanyak dua puluh ringgit, maka tidak boleh dinafikan berates-ratus wang yang boleh dilaburkannya dalam pembelian rokok untuk sebulan. Sungguh perbuatan ini sangatlah merugikan si perokok kerana wang yang digunakan tersebut tidaklah memberikan apa-apa jua manfaat kepada dirinya sendiri melainkan hanya melepaskan kepuasan diri dengan menghisap dan menghembus kepulan asap berulang kali. Malahan pada akhirnya, ia memudaratkan diri sendiri dengan mengundang pelbagai penyakit lalu tiada guna apabila sesudah terhantuk baru terngadah.

Bagi golongan wanita yang merokok pula, mereka sering menganggap gaya hidup yang tidak sihat ini sebagai sesuatu yang lazim pada zaman era kemodenan ini. Mereka merasakan bahawa diri mereka bergaya dan mempunyai stail tersendiri apabila mengamalkan amalan merokok. Selain itu, terdapat juga segolongan mereka yang menjadikan rokok ini sebagai salah satu inisiatif bagi mereka untuk menurunkan berat badan. Namun tanpa disedari, kesan yang bakal dialami oleh si wanita ini adalah lebih serius kalau hendak dibandingkan dengan lelaki. Sebagai contoh, apabila seseorang wanita sedang berbadan dua dan masih meneruskan amalan merokok dalam kehidupan sehariannya, sudah tentulah bahaya yang diundang bukan sahaja melibatkan diri sendiri, malah keselamatan dan kesihatan janin yang dibawanya juga akan turut sama terlibat. Hal ini kerana rokok boleh memudaratkan kesihatan dan meracuni janin dengan mendedahkannya kepada bahan-bahan yang berbahaya yang boleh membawa risiko kematian pada bulan awal kelahirannya.

Selain daripada itu, rokok juga boleh menjadi punca masalah kesihatan kepada kanak-kanak. Salah satunya adalah disebabkan susu wanita yang merokok lalu diberikan kepada bayi sudah pun berunsurkan toksik dan ini tidak bagus untuk kesihatan anak-anak malah boleh mendorong kepada kecacatan fizikal dan kecetekan mental. Lebih-lebih pula, kanak-kanak boleh menjadi perokok pasif di mana mereka bermain di kawasan yang udaranya dicemari dengan asap rokok, dan kemudian tanpa disedari, mereka menghisap asap rokok ke dalam paru-paru mereka. Hal inilah yang menyebabkan anak-anak mudah mendapat penyakit seperti kesukaran bernafas, kanser dan seumpamanya pada usia muda lagi.

Kesimpulannya, sudah terang lagikan bersuluh bahawa amalan merokok ini memberi implikasi yang buruk pada kesihatan diri sendiri dan juga orang sekeliling terutama kanak-kanak. Oleh itu, masyarakat Malaysia perlulah berusaha mengubah persepsi mereka untuk melihat sesuatu perbuatan itu kepada kesan yang bakal diperolehnya agar inisiatif untuk mencegah amalan merokok ini dapat dilakukan dengan jayanya lalu mewujudkan alam persekitaran yang bersih dan sihat untuk kesejahteraan penduduk sejagat. Pencegahan tabiat ini amatlah penting untuk setiap golongan masyarakat supaya kadar kematian dan penghidap penyakit kronik akibat merokok dapat dikurangkan dan ini bertepatan dengan kata-kata “lebih baik mencegah daripada merawat”.

TINGGALKAN KOMEN


KEMBALI KE ATAS